Rabu, Ogos 27, 2008

Merakyatkan Pentadbiran

Menjelang sambutan hari kemerdekaan dan selepas itu kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan AL Mubarak yang penuh keberkatan. Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Pembangunan Manusia yang di ketuai oleh Tuan Hj Wan Nawawi Wan Ismail mengadakan perjumpaan bulanan kakitangan dan majlis meraikan sambuatan hari lahir kakitangan yang dilahirkan bulan Julai dan Ogos.
Semangat kekitaan sebenarnya cukup terasa oleh warga kerja kerana wujudnya kemeraan dan saling bantu membantu antara satu dengan lain. Walaupun berada dalam dua era kepimpinan kerajaan yang sama ia itu kepimpinan YAB Dato’ Seri Idris Jusoh dan YAB Dato’ Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu. Anggota perkhidmatan awam nampakya semacam terasa perbezaan antara dua pemimpin ini walaupun tidak dizahir secara jelas. Agaknya macam terlepas dari sangkar ketensionan atau lain lain istilah yang boleh diberikan. Tanyalah pada siapa pun dikalangan anggota perkhidmatan awam negeri Terengganu saya percaya jawapan yang diberi mungkin tidak banyak perbezaan.
Seperti mana kata Tuan Hj Wan Nawawi sepatutnya perubahan yang berlaku ini memberi semangat baru untuk kita bekerja kerana anggota perkidmatan awam adalah pelaksana dasar kerajaan. Bukannya kita berhenti rehat selepas dikejar dan dihambat. Janganlah kita seolah-olah berada didunia baru dan tak tahu apa yang hendak dilaksanakan. Kita perlu bertanya pada diri sendiri untuk apa saya datang ke pejabat, untuk apa saya bekerja. Pasti jawapannya kita bekerja untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat. Maka tidak timbul soal kita dikejar dihambat atau tidak.
YAB Dato’ Ahmad Said Mentri Besar Terengganu dalam ucapannya semasa majlis anugerah perkhidmatan cemerlang peringkat negeri Terengganu 2008 pada 26 ogos yang lalu meminta supaya anggota perkhidmatan awam merakyatkan pentadbiran kerajaan. Justeru itu konsep MERAKYATKAN PENTADBIRAN ini seharusnya difahami oleh seluruh warga perkhidmatan awam. Bagaimana cara untuk kita merakyatkan pentadbiran. Maka kita kena kembali kepada konsep asas, apa dan mengapa kita bekerja. Samalah juga apa dan mengapa kita perlu makan?. Kita makan untuk hidup atau hidup untuk makan. Makan makanan yang boleh mengenyangkan. Maka jika tujuan makan untuk mengenyangkan dan untuk hidup, jadi matlamat atau tujuan makan akan tercapai. Begitulah juga dalam bekerja, tujuannya untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat. Jika perkhidmatan yang kita berikan itu sampai kepada rakyat dan rakyat berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan sudah tentu konsep merakyatkan pentadbiran akan tercapai.
Sehebat manapun program yang dilaksanakan jika rakyat tidak berpuas hati tiada maknanya kepada kerajaan dan rakyat akan membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan kerajaan tersebut atau tidak. Untuk merakyatkan pentadbiran kita kena lihat sistem penyampaian dilaksanakan benar-benar berkesan atau tidak. Jika tidak berkesan perlukan perubahan dalam kadar yang segera. Jangan hanya bekerja sebagai rutin sahaja. Perkhidmatan yang baik adalah berdasarkan apa yang pelanggan mahu. Bukan pada amalan terbaik dan apa yang dirasakan pelanggan perlu.Rakyat berhak mendapat perkhidmatan yang pantas, cekap berkesan dan mesra.
Bila kerajaan memperkenalkan konsep kerja anjal sebenar ia adalah untuk memberi peluang kepada anggota perkhidmatan awam memberi sumbangan yang terbaik untuk menghasilkan output atau outcome yang terbaik berdasarkan masa berkualiti yang diberikan aleh seorang anggota perkhidmatan awam. Disiplin kerja bukan hanya sekadar mematuhi waktu bekerja yang ditetapkan tetapi adalah penghasilan output yang dikehendaki pada masa dan suasana yang dikehendaki. Seorang anggota perkhidmatan awam itu kena mahir serba serbi hatta perkara yang kecil-kecil pun sepatutnya ia mempunyai kelebihan. Setiap kakitangan sepatutnya mempunyai perasaan seif of belonging terhadap organisasinya bagi merakyatkan pentadbiran.

Sabtu, Ogos 23, 2008

Mengisi kemerdekaan, gejala sosial dan tanggongjawab kepada warga tua

Mengisi kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan jalur gemilang. Walaupun kita juga telah kibarkan jalur gemilang di puncak dunia, di samudera luas, di khutub antartika dan merata lagi. Dengan kejayaan yang sedemikian rupa, dan kemakmuran yang dicapai serta kesenangan hidup yang dinikmati oleh kita semua, tidak syak lagi bahawa kemerdekaan itu telah banyak terisi.
Ketahuilah bahawa kemerdekaan ialah suatu nikmat, tetapi ingatlah bahawa perjuangan memperoleh kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah, mengisi kemerdekaan dengan segala kejayaan pula adalah sesuatu yang sukar, manakala mengekalkan kemerdekaan serta menguruskan kejayaan merupakan perkara yang lebih sukar daripada itu. Benar, banyak kemajuan yang telah dicapai, namun dengan kemajuan itu, semakin banyak pula cabaran yang mendatang dan semakin luas ruang yang perlu diisi dengan kejayaan fizikal, kebijaksanaan minda dan kekuatan rohani.
Kemerdekaan dan kemajuan negara adalah sesuatu yang diimpikan manusia sejagat. Namun begitu dalam mengejar pembangunan negara nilai-nilai murni tidak harus dikorbankan. Peningkatan gejala sosial seperti keruntuhan moral, penderaan, ragut, samun, rogol, bunuh, pecah amanah, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya yang saban hari terpampang di dada akhbar adalah manifestasi masyarakat yang telah kehilangan nilai-nilai murni sejagat, seperti iman, taqwa, amanah, maruah, kasih sayang, timbangrasa, ilmu dan bijaksana. Jika ini dibiarkan tanpa ditangani sebaik mungkin.
Sekiranya inilah yang terjadi dalam masyarakat apalah ertinya kemerdekaan yang diperjuangkan dahulu serta pembangunan yang diperkasakan . Lihatlah disekeliling kita warga Malaysia telah semakin hilang institusi keluarga dan masyarakat, sebagaimana semakin lenyapnya nilai-nilai spiritual dikalangan masyarakat kita, dek keghairahan mengejar dan menikmati pembangunan material. Warga tua dan ibu bapa semakin terabai oleh anak-anak mereka sendiri. Para cendekiawan pernah mengungkapkan bahawa ‘seorang ibu atau bapa mampu menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu atau bapa’.
Dalam perkhidmatan awam ibu bapa kepada anak-anak yang menjadi anggota perkhidmatan awam dan pegawai yang bersara. Disediakan kemudahan seperti - Kemudahan rawatan perubatan kepada ibu bapa yang sah kepada pegawai yang sedang berkhidmat; Faedah persaraan dalam bentuk ganjaran dan pencen; Faedah persaraan terbitan kepada balu / duda sekiranya pesara meninggal dunia; Pencen Tanggungan kepada ibu bapa pegawai yang meninggal dunia akibat bencana, penyakit atau kemalangan bukan kerana kecuaiannya; Faedah penyelarasan pencen setiap kali ada perubahan gaji baru yang diumumkan oleh kerajaan kepada pegawai yang sedang berkhidmat; Kemudahan rawatan perubatan secara percuma di klinik dan hospital kerajaan. Sekiranya terpaksa mendapat rawatan di luar stesyen, tuntutan elaun perjalanan, seperti menjalankan tugas rasmi dibenarkan; dan Banyaran Istimewa Penerima Pencen kepada pesara yang diumumkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
Ini adalah sebahagian daripada kemudahan yang disediakan kerajaan ibu bapa dan juga warga tua. Sebagai anak merdeka tanggung jawab kita lebih daripada itu.

Ahad, Ogos 17, 2008

"KATAKAN ‘TIDAK’ KEPADA RASUAH”, dan saya pasti kita akan menjadi modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang

" Transaksi secara ‘cross border’ semakin menjadi kebiasaan dalam dunia global masa kini. Tempiasnya, rasuah bukan lagi sekadar masalah negara tetapi telah menjadi isu global ... " Malaysia boleh mendabik dada kerana negara kita sudah pun maju setapak lagi ke hadapan dan mampu "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan negara-negara maju yang lain. Namun begitu, antara musuh terbesar negara, iaitu rasuah masih belum menemui titik penyelesaiannya.Gejala rasuah ini merupakan masalah kronik kerana pegawai-pegawai yang menerima rasuah itu bukan sahaja terdiri daripada pegawai kerajaan berpangkat tinggi malah melarat hingga ke pegawai peringkat bawah juga.
Antara faktor perdana yang menyebabkan rasuah ialah kemerosotan integriti. Integriti ditakrifkan sebagai keikhlasan, ketulusan,kejujuran dan sikap positif lain yang wujud secara keseluruhan pada individu,keluarga, komuniti dan sesebuah organisasi. Faktor-faktor kemerosotan integriti ialah individu, budaya, kurangnya didikan agama, persekitaran, dan sebagainya. Berdasarkan kajian ahli kriminologi dan kajian Badan Pencegah Rasuah (BPR), punca utama seseorang individu terbabit dengan jenayah rasuah adalah kerana kelemahan kawalan dalaman diri.
Faktor yang mempengaruhi sifat dan sikap negatif ini ialah kemerosotan penghayatan nilai agama dan etika, perasaan tamak untuk membuat harta supaya cepat kaya dan sikap ingin hidup mewah melebihi punca pendapatan. Individu yang lemah didikan agama dan penghayatan nilai-nilai murni, tiada disiplin diri, bersikap tamak serta mementingkan diri akan menyebabkan merosotnya integriti. Tekanan hidup yang pelbagai juga menyebabkan individu terjerumus dalam kancah rasuah, penyelewengan atau terlibat dalam gejala tidak bermoral. Selain itu, keadaan persekitaran juga mudah mempengaruhi individu dari segi pembentukan nilai dan tingkah lakunya.
Budaya yang menjunjung tinggi dapat memberi persekitaran yang kondusif kepada individu untuk tidak menyimpang dalam tingkah lakunya. Manakala budaya yang sebaliknya hanya akan mendorong individu menjadi tidak bertanggungjawab dan mengamalkan sikap endah tidak endah. Faktor-faktor yang dinyatakan diatas menyumbang kepada kemerosotan integriti. Lantaran itu, langkahlangkah yang efektif harus diambil dengan segera agar masalah kemerosotan integriti dalam kalangan masyarakat dapat ditangani secara sistematik dan menyeluruh.
Ibu bapa juga haruslah memberi kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Pada zaman yang penuh dengan saingan ini, ibu bapa berlumba-lumba untuk mencari rezeki. Senario ini menyebabkan masa ibu bapa bersama-sama dengan anak ataupun “masa berkualiti” amatlah sedikit sehinggakan ada yang tergamak mengabaikan anak-anak. Ibu bapa sepatutnya meluangkan masa bersama anak dan memberi pendidikan yang secukupnya untuk membina modal insan . Ibu bapa juga harus faham tentang jenis pendidikan yang diberi kepada anak dan impaknya sama ada menjadi orang yang berguna kepada masyarakat ataupun menjadi sampah mesyarakat. Pada era ini, ibu bapa yang semakin sibuk dengan kerjaya masing-masing sering mengabaikan aspek pendidikan kerohanian, termasuk nilai agama dan etika dalam proses mendidik anak-anak. Itulah hakikatnya yang perlu ditelan dek mengejar kemajuan duniawi.
Di samping itu, kempen, ceramah dan kursus meningkatkan integriti juga harus dipergiatkan. Kempen pendidikan pencegahan rasuah harus dilakukan secara berperingkat. Kerajaan boleh bermula dari peringkat sekolah sehinggalah memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat. Bukan setakat itu sahaja, peningkatan integriti boleh dilaksanakan melalui pelaksanaan agenda integriti untuk institusi politik.
Pelbagai usaha harus dilakukan untuk meningkatkan citra parti politik, memastikan integriti parti dan ahli politik, meningkatkan ketelusan, mengatasi penyelewengan dan salah guna kuasa. Pelaksanaan strategi dan pelan tindakan dalam kalangan pentadbir akan meningkatkan daya tahan gerakan pemantapan etika dan integriti. Semua ini dapat menyumbang kepada pembangunan yang lestari, kestabilan politik dan kesejahteraan hidup pelbagai kaum.
Agama adalah benteng diri yang cukup berkesan. Seseorang yang mempunyai pegangan agama, menghayati serta mengamalkan ajaran agama akan sentiasa diberkati Tuhan dalam hidupnya. Setiap agama di dunia ini mahukan penganutnya hidup berpaksikan nilai murni seperti jujur, amanah, bekerjasama, benar, telus, adil dan saksama. Dunia ini akan menjadi lebih selamat dan hidup manusia juga akan menjadi aman damai dan bebas daripada segala bentuk jenayah jika manusia mematuhi ajaran dan tuntutan agama. Sebagai contoh, dalam konteks Islam, rasuah dianggap sebagai suatu perbuatan yang keji. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: " Allah melaknat orang yang memberi rasuah, menerima rasuah dan orang yang menjadi perantara kedua-duanya." (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Hibban).
Bila media perdana melaporkan isu rasuah ke atas perbelanjaan penyenggaraan kereta-kereta kerajaan di Negeri Darul Iman ini sedikit sebanyak mencemarkan imej kita sebagai seorang islam. Kos menyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive, kenderaan rasmi kerajaan negeri Terengganu yang yang begitu tinggi telah mengundang siasatan BPR. Hasil siasatan BPR mungkin menakutkan, kerana ia tidak menolak kemungkinan berlaku penyelewengan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja mengenakan harga lebih tinggi untuk mengaut untung semasa penyenggaraan kenderaan kerajaan negeri ini.
Jangan kerana ingin mengejar kemewahan dan gaya hidup yang hebat kita mudah terpedaya dengan pihak-pihak yang sentiasa mencari keuntungan dengan cara yang mudah. Baru setahun jagong menjadi pegawai kerajaan telah disiasat oleh BPR amatlah memalukan.