Khamis, Februari 19, 2009

Mengapa tidak mahu belajar dari pengalaman

Pengalaman adalah universiti yang terbaik untuk belajar. Ramai yang tidak mahubelajar dari pengalaman. Bila terhatuk baru tergadah. Sejarah mengajar kita. Manakala pengalaman mendewasakan kita. Tidak perlu kita melalui pengalam tersebut untuk kita belajar. Kita juga boleh belajar dari pengalaman orang. Kesilapan yang pertama mungkin boleh dimaafkan. Tetapi jika kesilapan itu berulang kali. Itu adalah suatu kebodohan. Sekali terkena tetapi jika kedua kali ia pasti mengena.
Kesilapan tidak percuma kerana ia melibatkan kos dan kerugian masa. Oleh itu bertindaklah dengan bijaksana. Agar kita dapat menangani masalah yang yang munkin melanda. Orang yang bijak ia belajar dari pengalaman yang lalu.

Selasa, Februari 17, 2009

Pegawai Awam yang menjadi penganjur atau pengantara atau pelabur skim cepat kaya boleh dikenakan tindakan tatatertib

Larangan kepada kakitangan awam melibatkan diri dalam skim cepat kaya melalui Perkeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 2/2009 mengambarkan betapa seriusnya keterlibatan anggota perkhidmatan awam didalam skim cepat kaya. Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, mendedahkan lebih 50,000 kakitangan kerajaan daripada pelbagai peringkat termasuk ada ketua jabatan, terbabit dalam skim cepat kaya.
Gejala penglibatan dalam skim cepat kaya boleh menyebabkan pegawai yang terlibat terjebak dalam masalah kewangan yang serious,kekeluargaan dan kemasyarakatan dan akan menjejaskan prestasi pegawai berkenaan selaku penjawat awam.
Perkeliling tersebut dengan jelas melarang sama sekali pegawai awam terlibat dalam skim cepat kaya sama ada sebagai penganjur atau pengantara atau pelabur. Pegawai yang ingkar dengan larangan ini akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau peraturan-peraturan lain yang berkuatkuasa. Melalui berkuat kuasanya Perkeliling Perkhidmatan tersebut pada 13 Januari 2009 semua pegawai yang telah terlibat dikehendaki menghentikan penglibatan mereka dengan serta merta.
Ketua Jabatan adalah dikehendaki memantau pegawai dibawah penyeliaannya dan melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib untuk tindakan sewajarnya.
Amaran keras Presiden Cuepacs, Omar Osman, kepada kakitangan awam yang menyertai skim cepat kaya jika dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja akan hilang kelayakan untuk menerima pencen, Kakitangan terbabit bukan saja sekadar hilang kelayakan menerima pencen, tetapi turut dikecualikan daripada menerima sebarang bentuk pampasan daripada kerajaan akibat diberhentikan kerja.
Justeru, Omar menggesa semua 50,000 kakitangan awam yang dilaporkan terbabit skim itu supaya keluar daripadanya sebelum terlambat, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa kecuali penganjurnya.
Ingatan ini perlu dipandang serius oleh kakitangan oleh kakitangan awam yang bercita cita untuk cepat kaya dengan menyertai skim yang banyak dipertikaikan ini. Skim cepat kaya bermaksud satu bentuk pelaburan yang menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaboran yang kecil dan bebas daripada sebarang risiko, yang tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau pihak-pihak berkuasa yang lain. Ia juga termasuk sebarang bentuk pelan /aktiviti pelaburan yang menyalahi undang-undang walaupun ianya dijalankan oleh institusi berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan. Tafsiran ini dijelaskan oleh perkeliling berkenaan.

Sabtu, Februari 14, 2009

Cuti seorang pegawai dalam perkhidmatan awam. Perentah Am Bab C- Cuti

Cuti adalah tempoh seseorang pegawai itu dibenarkan meninggalkan tugasnya dan peninggalan tugas itu tidak dikira sebagai putus perkhidmatan atau sebagai berhenti kerja.
Seorang pegawai juga boleh berehat dengan cuti bergaji penuh yang diberi kerana perkhidmatan yang melayakkan dalam sesuatu tahun, dari bulan Januari hingga Disember.
Sekiranya seorang pegawai itu sakit ia boleh mendapat cuti bergaji penuh yang diberi kerana sebab-sebab perubatan dan dengan pengemukaan Sijil Sakit dari seorang pegawai perubatan Kerajaan atau lain-lain doktor yang diterima, dan diberi bagi sakit atau kecederaan yang ada harapan untuk sembuh.
Perkhidmatan yang diambil kira bagi mengira kelayakan mendapat cuti seseorang pegawai dan terdiri dari masa-masa bertugas, cuti rehat dan cuti sakit (dan bagi guru-guru termasuk cuti sekolah bergaji penuh) tetapi tidak termasuk cuti separuh gaji, cuti tanpa gaji, cuti haji, cuti sakit tibi, kusta dan barah dan cuti belajar mestilah tertakluk kepada perkhidmatan yang melayakkannya.
Terdapat 3 jenis cuti yang termasuk dalam cuti kerana perkhidmatan , ia itu Cuti Rehat bertujuan untuk berehat ia hendaklah mengikut kelayakan tahunan dengan kebenaran ketua jabatan. Sekiranya cuti tersebut tidat dihabiskan dalam tahun semasa ia boleh dibawa ketahun hadapan atau dikumpul untuk persaraan sebanyak 150 hari sebagai ganti wang tunai.
Seorang pegawai juga boleh mengambil cuti separuh gaji diatas sebab-sebab tertentu. Jika sebab kesihatan mestilah mendapat perakuan Lembaga Perubatan yang dilantik. Untuk menjaga sanak saudara yang rapat (adik-beradik, ibu bapa dan lain-lain saudara mara yang rapat kepada pegawai ) tempuhnya 14 hari sahaja. Kelayakan cuti separuh gaji adalah 30 hari tetapi tidak lebih daripada 180 hari.
Cuti tanpa gaji boleh diambil untuk urusan sendiri dalam Malaysia atau luar negara. Dengan syarat ia telah berkhidmat tidak kurang daripada 6 bulan. Kelayakan untuk mendapat cuti tanpa gaji ialah 30 hari genap tahun perkhidmatan tetapi tidak lebih daripada 360 hari.
Pegawai juga boleh mengambil cuti atas sebab kesihatan ia dikenali sebagai cuti sakit. Kelulusan ketua jabatan adalah 90 hari. Tambahan 90 hari lagi adalah kelulusan Ketua Setiusaha atau setiausaha Kerajaan. Lain-lain cuti sakit adalah cuti sakit lanjutan, cuti kecederaan dan cuti sakit tanpa gaji. Semua cuti sakit hendaklah disokong dengan sijil sakit daripada Pegawai Perubatan Kerajaan. Sijil sakit daripada swasta 15 hari sahaja.
Pegawai wanita layak untuk mendapat cuti bersalin 60 hari sebanyak 5 kali sepanjang perkhidmatannya manakala suami berhak mendapat cuti isteri bersalin selama 7 hari. Pegawai wanita juga boleh mendapat cuti menjaga anak selama 90 hari.
Pegawai muslim yang berkhidmat tidak kurang daripada 4 tahun dan telah disahkan jawatan berhak mendapat cuti haji selama 40 hari hanya sekali sahaja sepanjang tempuh perkhidmatannya.
Cuti tanpa rekod boleh diberi kepada seprang pegawai kerana cuti gantian, cuti Latihan sekarela, menghadiri peperiksaan, mengambil bahagian dalam sukan, menghadiri mesyuarat ikhtisas, mesyuarat Syarikat Kerjasama, kematian Ahli Keluarga dan Lain-lain seperti PA. C 42 (a).

Selasa, Februari 10, 2009

Makna ikrar seorang penjawat awam dalam perkhidmatan awam

Seorang penjawat awam apabila dipersetujui untuk dilantik ia hendaklah melapur diri sepertimana tarikh yang ditetapkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Cawangan Sumber Manusia . Semasa melapur diri tersebut ia hendaklah melapazkan Ikrar perkhidmatan Awam Malaysia dihadapan di hadapan Ketua Jabatan. Dalam ikrar ini ia berjanji akan patuh dan mengamalkan Teras-Teras Perkhidmatan selama mana ia berkhidmat dengan Kerajaan. Dimana kandungan ikrar tersebut adalah (1) Berazam meninggikan mutu perkhidmatan; (2) Bekerja dengan penuh tanggungjawab; (3) Berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri; (4) Berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan; (5) Bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara; (6) Bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara; (7) Berpegang teguh kepada ajaran agama.
Ini bermakna seorang pegawai yang tiada inisiatif untuk meninggikan kualiti perkhidmatan telah melanggar ikrarnya sendiri. Kerana tidak berusaha dan berazam untuk meninggikan mutu perkhidmatan. Penjawat awam yang baik adalah seorang yang dapat bekerja dengan penuh tanggungjawab.
Menerima jawatan sebagai penjawat awam sebenarnya memikul suatu amanah rakyat dan kerajaan. Amanah ini perlu dijaga dan dilaksanakan sebaik mungkin. Tanggungjawab ini perlu dipikul selagi ia bekerja sebagai penjawat awam. Memikul amanah dan tanggungjawab ini bukan sekadar persoalan didunia sahaja. Sebaliknya ia akan disoal sama ada amanah tersebut dilaksanakan dengan adil atau tidak diakhirat nanti. Jadi tanggong jawab melaksanakan tugas bukan hanya tanggung jawab di dunia tetapi juga akhirat.
Perkhidmatan yang disampaikan oleh penjawat awam adalah untuk rakyat. Kerajaanmerangka atau membuat dasar. Manakala penjawat awam adalah melaksanakan dasar tersebut. Dengan itu perkhidmatan yang disampaikan oleh penjawat awam akan mengambarkan tugas dan tanggungjawab kerajaan telah dilaksanakan dengan baik kepada rakyat. Rakyatlah pelanggan yang akhir menerima perkhidmatan. Terbaik perkhidmatan yang disampaikan maka baguslah kerajaan yang memerintah pada kacamata rakyat. Justeru itu konsep merakyatkan pentadbiran yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan Terengganu sangat sesuai dengan ikrar yang dilafazkan oleh setiap anggota perkhidmatan awam semasa melapur diri dalam perkhidmatan masing-masing.
Sikap mementingkan diri sendiri bukan sahaja melanggar ikrar yang telah dilafazkan malah bertentangan akhlak dan amalah islam. Dalam agama kita diajar supaya memberi keutamaan kepada orang lain terlebih dahulu. Sebagaimana amalan sahabat nabi SAW lebih mengutamakan orang lain daripada diri sendiri
Bersambung..............

Ahad, Februari 08, 2009

Proses perlantikan anggota perkhidmatan awam negeri

Bila terdapat kekosongan dalam perjawatan yang ada, pejabat setiusaha kerajaan akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN). Pengiklanan untuk mengisi jawatan akan dilaksanakan oleh SPN dan seterusnya SPN akan memangil temuduga untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut bagi memilih calon yang layak dan sesuai untuk dilantik sebagai penjawat awam.
Mana-mana pegawai yang dipersetujui untuk dilantik akan dimaklumkan oleh SPN kepada YB. Setiausaha Kerajaan. Pejabat Setiausaha Kerajaan Cawangan Sumber Manusia akan menawarkan kepada calon yang berjaya dengan memaklumkan beberapa perkara seperti berikut:-
i. Nama jawatan ii. Gred jawatan dan taraf jawatan iii. Gaji permulaan yang ditawar dan jadual gaji mengikut skim Dalam surat tawaran tersebut dinyatakan tarikh dan masa untuk lapor diri. Walau bagaimanapun tawaran perjawatan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat iaitu:-
i. Sihat tubuh badan dan diperakukan oleh doktor dalam Borang Am 402.
ii. Menandatangani surat akuan jika butiran dalam surat akuan tidak benar, perkhidmatan boleh ditamatkan serta merta.
iii. Tempoh percubaan dinyatakan 1 hingga 3 tahun dengan syarat hadir dengan jayanya Kursus Induksi yang ditetapkan dan diperakui oleh ketua jabatan.
iv. Dalam tempoh percubaan boleh ditamatkan dengan notis sebulan tanpa diberi sebab. Pegawai juga berhak meletak jawatan dengan sebulan notis atau sebulan gaji. Setelah sah jawatan perletakan jawatan adalah 3 bulan notis atau sebulan gaji.
v. Tertakluk kepada Perintah-Perintah Am Kerajaan, Pekeliling Arahan Perkhidmatan atau lain-lain.
Apabila seorang pegawai bersetuju menerima jawatan yang ditawarkan hendaklah membuat akuan di hadapan Majistret Rendah. Mengisi bahagian pertama Borang Am 402 untuk Pegawai-Pegawai Perubatan serta menandatangani surat penerimaan jawatan dan mengembalikannya kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan.
Pemeriksaan Doktor untuk pelantikan ke Perkhidmatan Kerajaan adalah mengikut (Perintah Am 23 (a) Bab ‘A’ 1973). Calon yang akan dilantik dalam perkhidmatan awam perlu memberi keterangan kesihatan dirinya. Jika didapati keterangannya palsu ia boleh diberhentikan kerja selepas dilantik. Semasa mendapatkan pemeriksaan perubatan ia hendaklah membawa cermin mata jika ia memakai cermin mata dan telah diperiksa oleh Lembaga Perubatan hendaklah membawa kertas-kertas Lembaga tersebut.
Calon hendaklah membuat pengakuan di bahagian A borang Perintah Am 23(a) Bab A 1973 seperti kahak berdarah, sakit lelah, batuk kering (Tibi), lain-lain penyakit paru-paru, sengal-sengal sendi, bengkak kaki, pening kepala, burut, sawan, kencing manis, darah tinggi, ketagihan dadah dan penyakit-penyakit lain atau keadaan diri yang mudarat.
Pengakuan juga hendaklah dibuat tentang keadaan pancaindera seperti rasa, bau, sentuhan, penglihatan dan pendengaran.
Perlu juga dibuat pengakuan berkaitan persetujuan untuk diperiksa oleh Lembaga Perubatan. Dinyatakan juga jika ada menerima sumber pencen dari mana-mana punca.
Pengakuan juga perlu dibuat tentang penyakit jiwa jika dan penyakit turun temurun dan yang dialami oleh ahli keluarga.
Pengakuan-pengakuan ini hendaklah disahkan oleh Pegawai Perubatan yang menjaga.
Pejabat Setiausaha Kerajaan akan mengeluarkan surat kepada Pegawai Perubatan Yang Menjaga (Y/M) Unit Pesakit Luar, Hospital yang berdekatan. Di antara butir-butir yang akan diperiksa ialah ketinggian, berat, pemeriksaan mata, pemeriksaan telinga, pemeriksaan gigi, pemeriksaan mulut dan kerongkong. Pemeriksaan nadi, tekanan darah, pemeriksaan dada, pemeriksaan jantung, pemeriksaan abdomen, pemeriksaan lubang-lubang deria, pemeriksaan kaji saraf dan kedaaan mental, pemeriksaan sistem lomomotor, pemeriksaan URO jantina, pemeriksaan air kencing, pemeriksaan X-Ray dada dan lain-lain yang difikirkan perlu.
Semasa melapor diri calon yang akan dilantik hendaklah membawa laporan perubatan, sijil-sijil kelulusan akademik yang asal dan salinan serta 4 keping gambar berukuran pasport.
Sepertimana yang dijelaskan di atas sebelum melapor diri calon hendaklah menandatangani surat penerimaan jawatan dan menghantarkannya kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan bersama surat akuan-akuan sumpah bukan penagih dadah dan surat akuan sumpah tidak pernah disabitkan atas tuduhan jenayah dan tidak pernah ditahan di bawah Peraturan Darurat, tidak pernah menjadi penagih dadah, tidak pernah dibuang kerja atau digantung kerja atau diisytiharkan dalam warta kerajaan sebagai telah meninggalkan jawatan daripada perkhidmatan mana-mana kerajaan. Tidak pernah meletak jawatan dalam perkhidmatan mana-mana kerajaan, pengakuan belum pernah bekerja dengan mana-mana kerajaan sebelum ini dan bebas dari kesusahan berat kerana hutang. Akuan berkanun ini hendaklah dibuat di hadapan Majisteret atau Pesuruhjaya Sumpah.