Jumaat, Ogos 20, 2010

Latihan yang dibuat dengan tekun pasti menghasilkan kecekapan. Kursus autocad untuk penolong pegawai tanah , PRP dan PRA

Penyedian pelan tanah ketika melaporkan hasil siasatan permohonan tanah tanah adalah tugas penolong pegawai tanah (SO). Namun terdapat juga penolong pegawai tanah yang tidak tahu melukis pelan tanah menggunakan perisian komputer Autocad. Sesetengahnya pembantu rendah petempatan adalah lebih mahir dari penolong pegawai tanah. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pergantungan kepada pembantu redah oleh penolong pegawai tanah masing-masing. Sedangkan tugas ini adalah tugas mereka.

Bila berlaku job rotation atau pergiliran tugas telah berlaku kerenjatan kerja. Penolong pegawai tanah telah merangkak membuat pelan ukuran tanah yang dilaksanakan. Pembantu rendah yang beliau bergantung selama ini ditukarkan ke unit lain.

Bagi mengatasi masalah ini Pentadbiran Pejabat Tanah Marang mengambil inisiatif sendiri dengan menganjurkan kursus dalaman Autocad kepada penolong pegawai tanah dan pembantu rendah selama 3 hari. Sepanjang bulan ramadhan 3 siri kursus akan dilaksanakan yang akan melibatkan 18 orang peserta bagi setiap siri. Tenaga pengajar terdiri daripada penolong pegawai tanah yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini.

Kursus dan kemahiran adalah penting untuk bahagian teknikal. Kursus aplikasi autocad dalam membuat lukisan pelan tanah memerlukan ketekunan dan kerajinan.

Pada zaman Dinasti Song Utara (tahun 960-1279), ada seorang hulubalang bernama Chen Yaozi yang sangat pandai memanah. Setiap panahannya akan kena tepat pada sasarannya. Pada suatu hari, Hulubalang Chen Yaozi mahu menunjukkan kecekapannya itu kepada orang ramai, dengan membuat latihan memanah di sebuah taman terbuka milik keluarganya. Apabila melihat anak panah yang dilepaskan oleh hulubalang itu, semuanya kena tepat pada sasarannya, orang ramai pun bertepuk tangan, sambil bersorak riang,

"Hulubalang ini hebat sekali! Hulubalang ini hebat sekali!"

Tiba-tiba, datanglah seorang tua penjual minyak. Dia memindahkan pengandarnya, sambil berkata, "Hulubalang ini memang hebat, tetapi itu hanyalah hasil daripada latihan yang dibuatnya setiap hari sahaja. Tiada apa-apa pun yang istimewa."

Mendengar kata-katanya itu, orang ramai yang tadinya bersorak riang, terus terdiam. Hulubalang itu merasakan dirinya tercabar. Dia menghampiri penjual minyak itu, sambil berkata dengan suara yang lantang, "Jika benar suatu kecekapan dapat diperoleh hanya dengan membuat latihan sahaja, silalah tunjukkan kepandaian kamu!"

Penjual minyak itu menjawab dengan tenang, "Kata-kata saya tadi bolehlah saya buktikan dengan pengalaman saya menuang minyak ke dalam botol. " Sebaik sahaja menghabiskan kata-katanya, dia pun meletakkan sebiji botol berbentuk labu di atas tanah, lalu menutup mulut botol itu dengan sekeping syiling tembaga yang berlubang kecil di tengahnya.

Kemudian, dia mula menuang minyak ke dalam botol itu menerusi lubang kecil itu dari tempat yang agak tinggi. Hebat sungguh! Tidak ada setitis pun yang tumpah atau terkena pada syiling tembaga itu. Orang ramai yang ada di situ amat terkejut, lalu kembali bersorak. Pada ketika itu, barulah hulubalang Chen Yaozi menyedari bahawa apa yang dikatakan oleh penjual minyak itu adalah benar. Latihan yang dibuat dengan tekun pasti menghasilkan kecekapan.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Shu Neng Sheng Qiao" atau "Latihan Hasilkan Kecekapan", dan "Kecekapan Merupakan Hasil daripada Latihan" ini membawa erti, kecekapan yang istimewa dapat diperoleh oleh sesiapa sahaja yang sanggup membuat latihan dengan tekun dan gigih tanpa mengaku kalah.

Ahad, Ogos 08, 2010

Pengalaman menghadiri kursus ESQ dan bersetuju dengan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan.

Penulis pernah mengikuti training ESQ . Berdasarkan pengalaman tersebut penulis amat bersetuju dengan rencana dibawah dan pandangan ulamak yang mengatakan ESQ sesat lagi menyesatkan. Berikut adalah rencana yang ditulis oleh Ustaz aozam Mas’od.

ESQ satu ‘ideologi’ bukan ‘metodologi’ — Aizam Mas’od.

Ketika menyampaikan kuliah Maghrib malam tadi (6 Ogos 2010, di Wilayah Persekutuan), kebetulan penulis sampai kepada bab berkenaan “Asma dan Sifat Allah SWT”, penulis mengambil kesempatan menjelaskan tentang penyelewengan ESQ dalam mentafsirkan nama-nama Allah SWT yang Maha Baik. Perkara ini bertepatan dengan ayat 74 di dalam surah al-Nahl. Bermaksud: “Maka janganlah kamu menjadikan perumpamaan-perumpamaan bagi Allah”.

Ayat ini menjadi hujjah kepada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah seperti yang terkandung di dalam Sifat 20 yang mengajarkan kepada kita bahawa Allah SWT itu bersifat “al-mukhalafah lil hawadith” iaitu “bersalahan daripada segala yang baharu”.

Tetapi ESQ mengajar sebaliknya apabila cuba mengiyaskan semua sifat-sifat makhluk dengan nama-nama Allah. Kesannya, ada di kalangan alumni ESQ yang memahami bahawa gunung itu tinggi kerana Allah itu Maha Tinggi, alam itu luas kerana Allah itu Maha Luas, bunga itu cantik kerana Allah itu Maha Cantik dan pelbagai lagi.

Ini adalah hasil daripada ajaran ESQ yang mengatakan bahawa “seluruh alam mewakili sifat Allah”. Lihatlah betapa dangkalnya ajaran ini kerana ia tidak berpijak kepada kaedah mantiq yang betul, bagaimana mungkin gunung dan alam yang mempunyai isi padu, had dan mengambil ruang boleh dikatakan menyamai sifat Allah SWT yang qadim?

Malah gunung dan alam itu akan hancur apabila tiba masanya manakala bunga pula akan layu. Ini menunjukkan bahawa sifat alam ini “hadith” (baharu) dan tidak kekal (fana”) sedangkan Allah SWT itu bersifat baqa” (kekal) dan tidak binasa. Juga menjadi persoalan, bagaimana pula dengan makhluq-makhluq seperti iblis, syaitan, haiwan liar, segala jenis penyakit yang kesemuanya adalah perkara-perkara buruk (pada zahirnya)... adakah ia juga mewakili sifat-sifat Allah yang Maha Baik itu?

Apakah bentuk akidah yang diajarkan oleh ESQ ini sebenarnya?

ESQ juga mengajarkan bahawa manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT hasil daripada suara hati yang sedia wujud di dalam fungsi ketiga otak manusia yang dinamakan God Spot. Suara hati ini menurut ESQ adalah fitrah yang telah ditiupkan dengan 99 nama Allah SWT ketika Allah SWT meniupkan roh-Nya ke dalam diri manusia.

Menurut ESQ suara hati ini universal dan terdapat pada seluruh manusia tanpa mengira agama mahupun kepercayaan termasuk atheis sekalipun. Oleh kerana itu, ESQ mengatakan manusia itu berkasih sayang kerana sifat Allah itu yang Maha Pengasih, manusia itu adil kerana Allah itu Maha Adil, manusia itu berwawasan kerana nama Allah itu al-Aakhir dan pelbagai lagi. Bermaksud kesemua sifat manusia yang benar-benar mengikuti suara hatinya yang fitrah itu adalah merujuk kepada 99 nama Allah SWT yang sedia wujud di dalam God Spot tersebut.

Akibatnya kesemua nama-nama Allah SWT termasuk yang mempunyai makna-makna khusus bagi-Nya seperti al-Jabbar, al-Mutakabbir, al-Khaliq, al-Muhyi, al-Mumit diterjemahkan sesuai dengan sifat-sifat manusia. Alasannya kerana manusia itu mewakili sifat-sifat Allah SWT.

Kaedah ESQ ini juga amat jelas menyalahi kaedah mantik yang betul, jika benarlah manusia yang mengikuti suara hati itu dikatakan mengikuti fitrah sifat-sifat Allah SWT, bagaimana pula dengan sifat-sifat manusia seperti makan dan minum, berkahwin, tidur, bernafsu dan lain-lain.

Adakah sifat-sifat ini juga mewakili sifat-sifat Allah SWT kerana ia juga fitrah yang sedia wujud dalam diri manusia? Ia bukan hasil daripada emosi atau fikiran. Malah kaedah literal ESQ yang mengatakan kerana manusia itu berasal daripada Allah SWT maka sifat manusia itu menyamai sifat Allah SWT adalah dangkal kerana ia menyalahi nas dan akal yang sejahtera.

ESQ sebenarnya terperangkap dengan jerangkap “spiritual quotient” yang digagaskan oleh Danah Zohar dan Ian Marshall. Ia didokong oleh hipotesis yang dibuat oleh VS Ramachandran kononnya terdapat fungsi “pencarian Tuhan” di dalam otak manusia.

Padahal al-Quran sendiri telah mengatakan bahawa “otak manusia yang sejahtera” jika berfikir secara rasional sememangnya akan menemui siapakah penciptanya.

Oleh itu, di dalam al-Quran manusia disuruh berfikir dan bertafakur tanpa perlu menunggu penemuan Barat ini. Hakikatnya, teori ESQ lahir dalam keadaan “worldview” Barat yang tidak percayakan Tuhan dan berselirat dengan falsafah materialisme.

Epistemologinya juga jelas hanya berasaskan kepada falsafah Barat dan hipotesis sains. Logiknya bagaimana mungkin ia boleh menjadi tafsiran kepada Islam?

Penulis tidak fikir ESQ akan berjaya diislamkan. Ini kerana ia adalah satu “ideologi” bukan “metodologi”. Ia sama dengan usaha sesetengah orang yang cuba untuk mengislamkan sekularisme, liberalisme, kapitalisme, komunisme dan lain-lain.

Jika ada juga yang cuba untuk mengislamkannya maka akan lahirlah Muslim sekular, Muslim liberal, Muslim kapitalis dan lain-lain. Islam adalah Islam.

Epistemologinya adalah bersumberkan wahyu bukan akal, falsafah atau dapatan sains. Hal ini berlaku kepada Ary Ginanjar. Dia tidak pernah berjaya mengislamkan ESQ, sebaliknya Islam pula yang terpaksa disesuaikan dengan ESQ.

Sebagai contoh, kita tidak pernah mendengar bahawa ihsan itu God Spot atau suara hati atau 99 nama Allah atau tiupan roh Allah. Apa yang kita tahu “ihsan” itu adalah satu martabat tertinggi dalam beribadah. Sama ada seseorang itu mencapai maqam musyahadah atau muraqabah. Syarat ibadah tentulah seseorang itu beriman dan menganut Islam. Ia adalah maqam yang amat eksklusif dan bukan inklusif.

Tetapi ESQ telah membaratkan pengertian “ihsan” dengan mendakwa ia adalah “spiritual quotient” yang berlaku kepada semua manusia tanpa mengira apa jua anutan agama.

Ia dianggap sesuatu yang universal dan inklusif hatta kepada mereka yang tidak beragama. Apa yang berbeza hanyalah pada metodologi bagaimana untuk mereka mencapai “spiritual quotient” itu.

Ia mungkin dicapai dengan solat, yoga, meditasi, pertapaan atau mendengar muzik kerana ia adalah sesuatu yang “built-in” dalam diri manusia dan tidak terikat kepada ritual keagamaan untuk memperolehinya.

Sebab itulah, Ary telah menyenaraikan peneraju syarikat-syarikat besar seperti Walt-Disney, Starbucks, Body Shop, Visa International, Nokia, Matsushita dan lain-lain sebagai tokoh-tokoh sufi korporat yang telah berjaya mencapai “spiritual quotient” sehingga menepati nama-nama Allah SWT yang telah menjadi fitrah dalam diri mereka.

Jenis sufi dan tasawwuf apakah yang diajar oleh Ary Ginanjar ini?

Terus terang penulis katakan, ESQ adalah satu trend halus untuk menerapkan faham “perennial philosophy” ke dalam penganut agama seluruh dunia. Faham ini masuk dengan pelbagai kaedah seperti melalui “Global Theology”, “Global Ethic” dan lain-lain.

Kesemua faham ini pada zahirnya cuba mencari persamaan nilai yang universal antara semua manusia. Asas kepada ideologi ini adalah manusia bersatu pada titik spiritualnya yang disebut sebagai “metaphysical unity” atau kesatuan metafizik (esoteric). Inilah sebenarnya inti pluralisme agama. Amat silap jika sesetengah pihak beranggapan bahawa pluralisme agama itu hanyalah apabila seseorang mengatakan “agama itu semuanya sama”.

Malah sememangnya “perennial philosophy” itu mengiktiraf agama-agama itu berbeza tetapi hanya pada “level” eksoteriknya (zahirnya) tetapi kesemuanya menuju atau bertawaf kepada paksi yang sama pada level “eksoteriknya” (batinnya). Lebih daripada itu, “perennial philosophy” juga tidak pernah menyekat penganut mana-mana agama mengamalkan agamanya, apa yang penting penganut agama-agama itu menerima bahawa mereka semua bertemu akhirnya pada titik yang sama. Itulah “spiritual quotient” yang dimaksudkan.

Kesimpulannya, inilah rupa paras ESQ yang sebenar... lihatlah worldview kelahirannya dan epistemologi yang mencetuskannya... anda akan kenal apa ESQ yang sebenar!