Sabtu, Ogos 23, 2008

Mengisi kemerdekaan, gejala sosial dan tanggongjawab kepada warga tua

Mengisi kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan jalur gemilang. Walaupun kita juga telah kibarkan jalur gemilang di puncak dunia, di samudera luas, di khutub antartika dan merata lagi. Dengan kejayaan yang sedemikian rupa, dan kemakmuran yang dicapai serta kesenangan hidup yang dinikmati oleh kita semua, tidak syak lagi bahawa kemerdekaan itu telah banyak terisi.
Ketahuilah bahawa kemerdekaan ialah suatu nikmat, tetapi ingatlah bahawa perjuangan memperoleh kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah, mengisi kemerdekaan dengan segala kejayaan pula adalah sesuatu yang sukar, manakala mengekalkan kemerdekaan serta menguruskan kejayaan merupakan perkara yang lebih sukar daripada itu. Benar, banyak kemajuan yang telah dicapai, namun dengan kemajuan itu, semakin banyak pula cabaran yang mendatang dan semakin luas ruang yang perlu diisi dengan kejayaan fizikal, kebijaksanaan minda dan kekuatan rohani.
Kemerdekaan dan kemajuan negara adalah sesuatu yang diimpikan manusia sejagat. Namun begitu dalam mengejar pembangunan negara nilai-nilai murni tidak harus dikorbankan. Peningkatan gejala sosial seperti keruntuhan moral, penderaan, ragut, samun, rogol, bunuh, pecah amanah, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya yang saban hari terpampang di dada akhbar adalah manifestasi masyarakat yang telah kehilangan nilai-nilai murni sejagat, seperti iman, taqwa, amanah, maruah, kasih sayang, timbangrasa, ilmu dan bijaksana. Jika ini dibiarkan tanpa ditangani sebaik mungkin.
Sekiranya inilah yang terjadi dalam masyarakat apalah ertinya kemerdekaan yang diperjuangkan dahulu serta pembangunan yang diperkasakan . Lihatlah disekeliling kita warga Malaysia telah semakin hilang institusi keluarga dan masyarakat, sebagaimana semakin lenyapnya nilai-nilai spiritual dikalangan masyarakat kita, dek keghairahan mengejar dan menikmati pembangunan material. Warga tua dan ibu bapa semakin terabai oleh anak-anak mereka sendiri. Para cendekiawan pernah mengungkapkan bahawa ‘seorang ibu atau bapa mampu menjaga 10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu atau bapa’.
Dalam perkhidmatan awam ibu bapa kepada anak-anak yang menjadi anggota perkhidmatan awam dan pegawai yang bersara. Disediakan kemudahan seperti - Kemudahan rawatan perubatan kepada ibu bapa yang sah kepada pegawai yang sedang berkhidmat; Faedah persaraan dalam bentuk ganjaran dan pencen; Faedah persaraan terbitan kepada balu / duda sekiranya pesara meninggal dunia; Pencen Tanggungan kepada ibu bapa pegawai yang meninggal dunia akibat bencana, penyakit atau kemalangan bukan kerana kecuaiannya; Faedah penyelarasan pencen setiap kali ada perubahan gaji baru yang diumumkan oleh kerajaan kepada pegawai yang sedang berkhidmat; Kemudahan rawatan perubatan secara percuma di klinik dan hospital kerajaan. Sekiranya terpaksa mendapat rawatan di luar stesyen, tuntutan elaun perjalanan, seperti menjalankan tugas rasmi dibenarkan; dan Banyaran Istimewa Penerima Pencen kepada pesara yang diumumkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.
Ini adalah sebahagian daripada kemudahan yang disediakan kerajaan ibu bapa dan juga warga tua. Sebagai anak merdeka tanggung jawab kita lebih daripada itu.

Tiada ulasan: