Selasa, Februari 17, 2009

Pegawai Awam yang menjadi penganjur atau pengantara atau pelabur skim cepat kaya boleh dikenakan tindakan tatatertib

Larangan kepada kakitangan awam melibatkan diri dalam skim cepat kaya melalui Perkeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 2/2009 mengambarkan betapa seriusnya keterlibatan anggota perkhidmatan awam didalam skim cepat kaya. Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, mendedahkan lebih 50,000 kakitangan kerajaan daripada pelbagai peringkat termasuk ada ketua jabatan, terbabit dalam skim cepat kaya.
Gejala penglibatan dalam skim cepat kaya boleh menyebabkan pegawai yang terlibat terjebak dalam masalah kewangan yang serious,kekeluargaan dan kemasyarakatan dan akan menjejaskan prestasi pegawai berkenaan selaku penjawat awam.
Perkeliling tersebut dengan jelas melarang sama sekali pegawai awam terlibat dalam skim cepat kaya sama ada sebagai penganjur atau pengantara atau pelabur. Pegawai yang ingkar dengan larangan ini akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau peraturan-peraturan lain yang berkuatkuasa. Melalui berkuat kuasanya Perkeliling Perkhidmatan tersebut pada 13 Januari 2009 semua pegawai yang telah terlibat dikehendaki menghentikan penglibatan mereka dengan serta merta.
Ketua Jabatan adalah dikehendaki memantau pegawai dibawah penyeliaannya dan melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib untuk tindakan sewajarnya.
Amaran keras Presiden Cuepacs, Omar Osman, kepada kakitangan awam yang menyertai skim cepat kaya jika dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja akan hilang kelayakan untuk menerima pencen, Kakitangan terbabit bukan saja sekadar hilang kelayakan menerima pencen, tetapi turut dikecualikan daripada menerima sebarang bentuk pampasan daripada kerajaan akibat diberhentikan kerja.
Justeru, Omar menggesa semua 50,000 kakitangan awam yang dilaporkan terbabit skim itu supaya keluar daripadanya sebelum terlambat, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa kecuali penganjurnya.
Ingatan ini perlu dipandang serius oleh kakitangan oleh kakitangan awam yang bercita cita untuk cepat kaya dengan menyertai skim yang banyak dipertikaikan ini. Skim cepat kaya bermaksud satu bentuk pelaburan yang menawarkan kadar pulangan yang tinggi atau tidak realistik bagi jumlah pelaboran yang kecil dan bebas daripada sebarang risiko, yang tidak berdaftar dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau pihak-pihak berkuasa yang lain. Ia juga termasuk sebarang bentuk pelan /aktiviti pelaburan yang menyalahi undang-undang walaupun ianya dijalankan oleh institusi berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan. Tafsiran ini dijelaskan oleh perkeliling berkenaan.

Tiada ulasan: