Ahad, Februari 08, 2009

Proses perlantikan anggota perkhidmatan awam negeri

Bila terdapat kekosongan dalam perjawatan yang ada, pejabat setiusaha kerajaan akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN). Pengiklanan untuk mengisi jawatan akan dilaksanakan oleh SPN dan seterusnya SPN akan memangil temuduga untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut bagi memilih calon yang layak dan sesuai untuk dilantik sebagai penjawat awam.
Mana-mana pegawai yang dipersetujui untuk dilantik akan dimaklumkan oleh SPN kepada YB. Setiausaha Kerajaan. Pejabat Setiausaha Kerajaan Cawangan Sumber Manusia akan menawarkan kepada calon yang berjaya dengan memaklumkan beberapa perkara seperti berikut:-
i. Nama jawatan ii. Gred jawatan dan taraf jawatan iii. Gaji permulaan yang ditawar dan jadual gaji mengikut skim Dalam surat tawaran tersebut dinyatakan tarikh dan masa untuk lapor diri. Walau bagaimanapun tawaran perjawatan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat iaitu:-
i. Sihat tubuh badan dan diperakukan oleh doktor dalam Borang Am 402.
ii. Menandatangani surat akuan jika butiran dalam surat akuan tidak benar, perkhidmatan boleh ditamatkan serta merta.
iii. Tempoh percubaan dinyatakan 1 hingga 3 tahun dengan syarat hadir dengan jayanya Kursus Induksi yang ditetapkan dan diperakui oleh ketua jabatan.
iv. Dalam tempoh percubaan boleh ditamatkan dengan notis sebulan tanpa diberi sebab. Pegawai juga berhak meletak jawatan dengan sebulan notis atau sebulan gaji. Setelah sah jawatan perletakan jawatan adalah 3 bulan notis atau sebulan gaji.
v. Tertakluk kepada Perintah-Perintah Am Kerajaan, Pekeliling Arahan Perkhidmatan atau lain-lain.
Apabila seorang pegawai bersetuju menerima jawatan yang ditawarkan hendaklah membuat akuan di hadapan Majistret Rendah. Mengisi bahagian pertama Borang Am 402 untuk Pegawai-Pegawai Perubatan serta menandatangani surat penerimaan jawatan dan mengembalikannya kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan.
Pemeriksaan Doktor untuk pelantikan ke Perkhidmatan Kerajaan adalah mengikut (Perintah Am 23 (a) Bab ‘A’ 1973). Calon yang akan dilantik dalam perkhidmatan awam perlu memberi keterangan kesihatan dirinya. Jika didapati keterangannya palsu ia boleh diberhentikan kerja selepas dilantik. Semasa mendapatkan pemeriksaan perubatan ia hendaklah membawa cermin mata jika ia memakai cermin mata dan telah diperiksa oleh Lembaga Perubatan hendaklah membawa kertas-kertas Lembaga tersebut.
Calon hendaklah membuat pengakuan di bahagian A borang Perintah Am 23(a) Bab A 1973 seperti kahak berdarah, sakit lelah, batuk kering (Tibi), lain-lain penyakit paru-paru, sengal-sengal sendi, bengkak kaki, pening kepala, burut, sawan, kencing manis, darah tinggi, ketagihan dadah dan penyakit-penyakit lain atau keadaan diri yang mudarat.
Pengakuan juga hendaklah dibuat tentang keadaan pancaindera seperti rasa, bau, sentuhan, penglihatan dan pendengaran.
Perlu juga dibuat pengakuan berkaitan persetujuan untuk diperiksa oleh Lembaga Perubatan. Dinyatakan juga jika ada menerima sumber pencen dari mana-mana punca.
Pengakuan juga perlu dibuat tentang penyakit jiwa jika dan penyakit turun temurun dan yang dialami oleh ahli keluarga.
Pengakuan-pengakuan ini hendaklah disahkan oleh Pegawai Perubatan yang menjaga.
Pejabat Setiausaha Kerajaan akan mengeluarkan surat kepada Pegawai Perubatan Yang Menjaga (Y/M) Unit Pesakit Luar, Hospital yang berdekatan. Di antara butir-butir yang akan diperiksa ialah ketinggian, berat, pemeriksaan mata, pemeriksaan telinga, pemeriksaan gigi, pemeriksaan mulut dan kerongkong. Pemeriksaan nadi, tekanan darah, pemeriksaan dada, pemeriksaan jantung, pemeriksaan abdomen, pemeriksaan lubang-lubang deria, pemeriksaan kaji saraf dan kedaaan mental, pemeriksaan sistem lomomotor, pemeriksaan URO jantina, pemeriksaan air kencing, pemeriksaan X-Ray dada dan lain-lain yang difikirkan perlu.
Semasa melapor diri calon yang akan dilantik hendaklah membawa laporan perubatan, sijil-sijil kelulusan akademik yang asal dan salinan serta 4 keping gambar berukuran pasport.
Sepertimana yang dijelaskan di atas sebelum melapor diri calon hendaklah menandatangani surat penerimaan jawatan dan menghantarkannya kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan bersama surat akuan-akuan sumpah bukan penagih dadah dan surat akuan sumpah tidak pernah disabitkan atas tuduhan jenayah dan tidak pernah ditahan di bawah Peraturan Darurat, tidak pernah menjadi penagih dadah, tidak pernah dibuang kerja atau digantung kerja atau diisytiharkan dalam warta kerajaan sebagai telah meninggalkan jawatan daripada perkhidmatan mana-mana kerajaan. Tidak pernah meletak jawatan dalam perkhidmatan mana-mana kerajaan, pengakuan belum pernah bekerja dengan mana-mana kerajaan sebelum ini dan bebas dari kesusahan berat kerana hutang. Akuan berkanun ini hendaklah dibuat di hadapan Majisteret atau Pesuruhjaya Sumpah.

Tiada ulasan: