Jumaat, Julai 16, 2010

Kegigihan anak Terengganu dalam pasukan expedisi EM1M - KL to London

HEZOU (China) 14 Julai - Tangan tidak dirasakan seperti memegang 'handle' motosikal Kawasaki Versys 650 lagi, sebaliknya ia dirasakan umpama memegang ketulan ais sehingga sendi-sendi jari menjadi sengal. Hujan yang disertai tiupan angin lintang menambah sengsara, kesejukan terasa menggigit hinggga ke tulang hitam walaupun beberapa lapisan pakaian sudah disarungkan bersama jaket menunggang GIVI.

Itu pengalaman baru yang ditempuhi anggota pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) sewaktu menunggang di kawasan tinggi antara 3,000 hingga 4,000 meter dari aras laut dengan suhu yang menurun sehingga lima darjah celcius dari Hongyuan ke sini, semalam. Suhu yang terlalu sejuk menyebabkan alat pemanas tangan yang dipasang pada pemegang 'handle' motosikal kami bagaikan tidak berfungsi walaupun telah diaktifkan ke tahap maksimum sedangkan pada suhu biasa, ia boleh menyebabkan tapak tangan melecur jika dipegang terlalu lama.

Ternyata bukannya mudah untuk empat anak Malaysia menyesuaikan diri dalam cuaca sesejuk itu sewaktu penunggang motosikal tempatan berketurunan Tibet yang kami temui di jalanan turut memakai jubah tebal dan membalut muka mereka dengan kain untuk menahan kesejukan. Namun setiap daripada kami tetap bertahan dan positif menerima ujian berkenaan kerana ia merupakan proses persediaaan untuk menghadapi cabaran di sepanjang laluan ke London yang masih berbaki kira-kira 18,000 kilometer (km) lagi.

Mengenai angin lintang, ia berpunca daripada kawasan lapang sejauh mata memandang di sebelah kiri dan kanan laluan yang kami gunakan.Terletak di kawasan lembah antara dua jaluran gunung-ganang, kawasan berkenaan merupakan Taman Rumput Semulajadi yang sebenarnya adalah padang ragut untuk kegunaan penternak yak, biri-biri dan kuda. Keluasannya tidak dapat dianggarkan kerana kawasan berkenaan hanya dilepasi selepas lebih 260km kami menunggang.

Penternak yang menggunakan padang ragut itu akan berpindah randah dari satu kawasan ke satu kawasan apabila bekalan rumput menyusut dan kembali semula ke kawasan berkenaan apabila tiba masa yang sesuai.

Perjalanan EM1M juga beberapa kali terhenti apabila kawanan binatang ternakan melintasi jalan yang kami gunakan dan yang paling menggerunkan ialah jika ia membabitkan yak yang bebulu lebat dan bertanduk runcing, dikhuatiri deruman ekzos Versys mengejutkan mereka sehingga menjadi agresif.

Kami tiba di sini, kira-kira pukul 6 petang dan Pengarah Teknikal EM1M, Chua Chern Kwang mengambil kesempatan itu untuk menukar minyak enjin tajaan Silkolene kerana perjalanan kami sudah mencecah 5,000 km sejak meninggalkan Kompleks Sri Utusan, Bangi pada 1 Julai lalu.

Daripada SAIFUL HAIZAN HASAM - Anak kelahiran Besut Terengganu (Idola Keluarga)

Tiada ulasan: