Sabtu, Julai 17, 2010

Salah guna kuasa dalam pentadbiran tanah.

Amaran MB Terengganu, kakitangan awam jangan salah guna kuasa

KEMAMAN, 11 Julai 2010— Menteri Besar Datuk Ahmad Said memberi amaran kepada penjawat awam di Terengganu supaya tidak menyalah guna kuasa, jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Beliau berkata beliau menerima aduan dan laporan bahawa terdapat perbuatan salah guna kuasa dalam beberapa jabatan kerajaan negeri. “Saya beri amaran, jika berterusan perkara ini berlaku, saya sendiri akan turun bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk membuat pemeriksaan mengejut,” katanya ketika ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama penjawat awam bagi Daerah Kemaman hari ini.

“Kita memikul amanah, jadi kita perlu berhati-hati dalam apa jua tindakan kita, jangan sampai kita diheret ke penjara kerana gagal melaksanakan amanah. “Saya juga mahu semua urusan rakyat disegerakan dan jangan dilengahkan. Malah kita harus beri perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut kepada pemberita kemudiannya, Ahmad berkata beliau telah memaklumkan mengenai aduan salah guna kuasa tersebut kepada ketua jabatan berkenaan. Beliau turut meminta penjawat awam tidak mensabotaj kerajaan dengan menyebarkan dakyah yang tidak betul mengenai dasar-dasar kerajaan. — Bernama

Ulasan penulis : Salah guna kuasa dalam pentadbiran tanah.

Tanah adalah amanah. Tanah bukan semata komoditi atau barangan untuk di jual-beli tetapi adalah amanah yang akan di panjangkan untuk generasi akan datang.Tanah tidak seharusnya diberikan kepada mereka yang sudah mempunyai tanah..

Salah guna kuasa dalam pentadbiran tanah boleh dielakkan jika pegawai yang diamanahkan dalam pentadbiran tanah bekerja dengan ikhlas dan jujur.

Diantara beberapa contoh salah guna kuasa dalam pentadbiran tanah ialah ;

1. Tanah diberi kepada syarikat atau individu yang tidak ada kaitan dengan tanah tersebut berbanding mereka yang telah tinggal dan mengusaha tanah itu bertahun-tahun lamanya.

2. Tanah rizab diberi tetapi tidak di keluar dari warta tanah rizab.

3. Kawasan lapang dan tanah awam diberi kepada pemaju yang dekat dan ada hubungan rapat dengan orang-orang tertentu untuk perumahan dan pembangunan kawasan komersial.

4. Tanah tinggi dan kawasan tadahan air di anugerah kepada syarikat tertentu atau kategori tanah ditukar untuk dibenar membina projek pelancongan atau perumahan.

5. Pengawai yang bertanggung jawab dalam pentadbiran tanah menggunakan proksi ( pinjam nama orang lain) untuk mendapat tanah kerajaan untuk kepentingan peribadi.

6. Pegawai yang bertanggung jawab memalsukan dokumen permohonan tanah. Tanah dalam kawasan Rancangan Tanah Berkelompok dimasukkan nama kroni atau adik beradik tanpa melalui proses temuduga. Kadang-kadang borang pun tidak diisi dengan sempurna.

7. Pegawai dipejabat tanah memasukkan nama sendiri sebagai peserta ganti bagi mengantikan peserta RTB yang meninggal dunia. Pada hal dia tiada hubungan waris langsung dengan simati.

8. Pegawai yang tidak bertanggungjawab memberi ID kepada kakitangan untuk membuat kerja bagi pihak beliau tanpa kawalan. Contoh dalam memproses e-mohon ( sistem permohonan tanah berkomputer) dan sebagainya.

9. Pen. Pegawai Tanah menghebahkan tanah kerajaan untuk dipohon kepada sahabat handai, saudara mara dan orang yang ada kepentingan dengan mereka.

10. Pegawai yang bertgas di Pejabat Tanah membuat kerja-kerja juru ukur swasta dalam proses tukar syarat, pecah sempadan dan pecah bahagian tanah. Mereka-mereka ini mendapat akses yang mudah dalam sistem maklumat di Pejabat Tanah.

Tiada ulasan: