Jumaat, Julai 16, 2010

Isu-isu dalam pentadbiran tanah di Malaysia

Berikut adalah rumusan sidang pleno Kursus Pentadbiran Dan Perundangan Tanah (Pentadbir Tanah & Ketua Penolong Pentadbir Tanah Gred 52-54 ) yang turut dihadiri penulis.

ISU-ISU YANG TERDAPAT DALAM PENTADBIRAN TANAH DI MALAYSIA

Ketidakupayaan Pentadbir Tanah Daerah mungkin berpunca dari kekurangan pengetahuan dalam bidang pentadbiran tanah. Terdapat Pentadbir Tanah Daerah yang dilantik tidak mempunyai pendedahan tentang pentadbiran tanah daripada penempatan-penempatan mereka sebelumnya.

Pentadbir Tanah Daerah juga sentiasa sibuk dengan tugas-tugas sebagai Pegawai Daerah dan keterlibatan Pegawai Daerah dalam banyak jawatankuasa dan mesyuarat. Ini menyukarkan mereka untuk menghadiri kursus / latihan bagi tujuan peningkatan kompetensi mereka.

Pejabat PTG kurang berkemampuan melaksanakan peranan penggubalan dasar, perancangan, penyelarasan dan pemantauan. Ini sebahagiannya disebabkan oleh keterlibatan langsung Pejabat PTG dalam tugas-tugas operasi. Kesannya Pejabat PTG kurang menyelia usaha-usaha inovasi, penambahbaikan dan pemantauan urusan pentadbiran tanah oleh Pejabat-Pejabat Tanah Daerah.

Pelbagai sistem telah diwujudkan seperti Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB), Sistem Pengurusan Kutipan Hasil Tanah Berkomputer (SPHTB), Sistem Pengurusan Data Kadaster (SPDK), Malaysian Geospatial Data Infrastructure (MyGDI) dan sebagainya. Masih tiada sistem yang komprehensif yang merangkumi urusan tanah / ukur. Tiada maklumat bersepadu mengenai tanah Negara dan diharapkan e-Tanah akan dapat menjadi model terbaik untuk menjadi sistem aplikasi komputer yang komprehensif yang merangkumi semua proses kerja. Projek perintis di Pulau Pinang masih dalam pelaksanaan.

Projek pembangunan dan urbanisasi menyebabkan banyak permohonan bagi memajukan tanah dikemukakan kepada Pejabat Tanah dan Jabatan Ukur Negeri (PU). Contohnya pindah milik, gadaian, pendaftaran, perintah jualan, permohonan ukur halus (PU). Pertambahan tugas ini sepatutnya diimbangi dengan pertambahan perjawatan.

Kekurangan pengetahuan, pengalaman, dan kemahiran dikalangan pentadbir tanah dan kakitangan sokongan berkaitan pentadbiran dan perundangan tanah adalah isu yang perlu segera ditangani bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan urusan berkaitan tanah.

Warga kerja di Pejabat-Pejabat Tanah turut terlibat dengn kerja-kerja teknikal pengukuran. Namun begitu, terdapat kekurangan kemahiran kakitangan teknikal pejabat tanah dalam kerja-kerja pengukuran ini. Apakah kursus / latihan yang diperlukan bagi warga kerja tersebut?

Warga kerja yang mempunyai kepakaran untuk pendakwaan amat kurang sekali. Ini mengakibatkan banyak kes hasil tertunggak. Selain itu, terdapat juga masalah keyakinan dalam melakukan pendakwaan dalam anggota penguatkuasaan walaupun telah mengikuti kursus di INSTUN.

Walaupun arahan Mesyuarat Majlis Tanah Negara Yang Ke-59 bertarikh 18 Disember 2003 memutuskan semua anggota pentadbiran tanah DIWAJIBKAN hadir kursus di INSTUN, namun masih ramai lagi pegawai yang belum pernah hadir berkursus di INSTUN terutama Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P). Ini menyebabkan ramai pegawai tersebut menjalankan tugas tanpa mempunyai ilmu pentadbiran dan perundangan tanah yang secukupnya sebelum memulakan tugas.

Kebanyakan Pejabat Tanah / PTG masih menggunakan sistem pengurusan fail dan rekod secara manual. Fail-fail tidak diselenggara dengan baik. Kekurangan kakitangan juga menyumbang kepada fail-fail yang aktif dan tidak aktif bercampur.

Kelemahan ini turut menyumbang kepada masalah penipuan dan pemalsuan dokumen hakmilik. Warga kerja di pentadbiran tanah harus dilengkapi kemahiran bagi mengenal pasti pemalsuan agar penambahbaikan dan tindakan dapat diambil.

Rakyat Malaysia semakin bertambah dari tahun ke tahun. Dianggarkan bahawa pertumbuhan rakyat Malaysia mampu mencecah sehingga 70 juta penduduk berbanding 30 juta penduduk pada masa kini. Dengan memahami bahawa tanah yang semakin berkurangan, perancangan gunatanah yang digunapakai perlu dikaji dan dibuat penambahbaikan agar disesuaikan dengan gunatanah yang bertambah. Kreativiti dan inovasi diperlukan untuk melaksanakan pembaharuan ini.

Aduan yang tidak beri perhatian mengakibatkan pelanggan (orang ramai) memanjangkan aduan kepada Biro Pengaduan Awam dan SPRM.

Umum sedia maklum urusan di Pejabat Tanah dan Pejabat Ukur memerlukan penggunaan borang yang banyak. Masalah sering timbul apabila pengisian borang tidak lengkap atau tidak menepati kehendak borang tersebut. Pegawai yang menguruskan borang-borang tersebut seharusnya pakar dalam mengenal pasti kekurangan pada pengisian borang tersebut oleh pelanggan untuk memudahkan pemprosesan.

Tunggakan kutipan hasil cukai tanah adalah berikutan kurang kesedaran pelanggan terhadap kewajiban membayar cukai tanah, kurang usaha Pejabat Tanah untuk mengutip cukai, kurang penguatkuasaan, dan kurang insentif menggalakkan kepada pemilik jika membayar awal. Publisiti untuk memberi kesedaran kepada pembayar cukai tanah amat diperlukan.

Terdapat masalah persekitaran pejabat yang secara tidak langsung mengganggu kelancaran kerja-kerja harian anggota di pentadbiran tanah seperti:

i) Keadaan bangunan Pejabat Tanah yang lama dan kurang penyelenggaraan.

ii) Ruang pejabat yang sempit dan susun atur pejabat yang tidak sistematik.

iii) Kekurangan ruang kaunterdan ruang menunggu pelanggan.

iv) Kurang ruang untuk Bilik Fail dan Bilik Kebal.

v) Kekurangan ciri-ciri keselamatan.

Secara umumnya terdapat tujuh (7) bidang utama perlu melalui enam peringkat proses kerja. Semua aktiviti mempunyai halangan sehingga mengambil masa yang panjang untuk memproses permohonan. Disaran perlu ada Piagam Pelanggan yang jelas dan menyegerakan pelaksanaan MS ISO 9001:2008.

Enam aktiviti dikenalpasti yang mempunyai halangan tertentu:

Halangan peringkat proses;
Pegawai bertugas akan menyemak lengkapnya dokumen, kesahihan, mengesah, dan menyisih.

Halangan peringkat laporan tanah;
Kerja-kerja penyediaan maklumat laporan tanah yang melibatkan Pelukis Pelan dan Pen.Pegawai Tanah.

Halangan peringkat rujukan.
Keperluan merujuk kepada agensi teknikal untuk mendapatkan ulasan-ulasan berkaitan.

Halangan peringkat pertimbangan;
Menyediakan kertas pertimbangan J/kuasa Tanah Daerah (JKTD) (atau dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal Tanah atau J/kuasa Kerja Tanah atau J/kuasa Hasil Bumi dan Tanah disetengah daerah)

Halangan peringkat keputusan; dan
Melibatkan keperluan mendapatkan pertimbangan dan keputusan Pihak Berkuasa Negeri (MMKN).

Halangan peringkat pendaftaran.
Mendaftarkan hak milik dan mengeluarkan hak milik (sementera atau tetap) kepada pemilik. Hak Milik Sementara perlu ditukar kepada Hak Milik Tetap. Disini peranan JUPEM untuk lot-lot tanah perlu diperakui / diluluskan oleh Pengarah Ukur Negeri sebelum didaftarkan sebagai hak milik tetap.

Keperluan kompetensi (latihan) perlu selaras dengan kehendak, peranan, halangan / masalah yang dihadapi agar program latihan yang digubal menepati dan membantu jabatan menyelesaikan halangan ini.

1 ulasan:

~AKUSYANICHI~ berkata...

bagaimana nak selesaikan setiap isu2 yang ade ni??