Jumaat, Disember 04, 2009

Belajar dari pengalaman untuk membina masa depan yang lebih gemilang

E-mail dari Seorang hamba Allah Assalamualaikum w.b.t. Tuan, pertama sekali saya ingin memohon maaf sekiranya email saya berbentuk tidak formal.

Saya merupakan pegawai khidmat singkat (PKS) gred 41 di sebuah jabatan kerajaan. Secara amnya, saya tidak memperoleh apa-apa perlindungan daripada pihak Jabatan termasuklah perlindungan perubatan, KWSP dan lain-lain. Jujurnya, saya terbaca blogspot caknasayang secara tidak sengaja ketika saya mencari maklumat mengenai perkhidmatan awam. saya melihat tuan mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas mengenai perkhidmatan awam.

Untuk pengetahuan tuan, sebagai pegawai khidmat singkat, saya tidak mempunyai autoriti untuk menurunkan tandatangan ke atas sebarang surat rasmi jabatan. Di bawah skim Contract For Service, Ketua Jabatan ragu-ragu untuk memberikan sebarang tugas rasmi dan tunjuk ajar mengenai selok-belok perjalanan tugas di Jabatan ini. Disebabkan saya merupakan graduan yang tidak mempunyai pengalaman berkerja, maka urusan seperti menaip surat rasmi (memo), urusan kewangan, dan urusan pentadbiran merupakan perkara yang tidak pernah saya buat sebelum ini.

Tiada kursus dijalankan bagi PKS seperti saya (melainkan dengan arahan Ketua Jabatan). Saya dihantar oleh Kementerian, maka dengan sebab itu, segala soal jawab mengenai tugas saya, perlu diajukan kepada pegawai penyelia di Kementerian (yang juga PKS). Baru-baru ini, saya difahamkan oleh pegawai tersebut bahaw pegawai PKS hanya menjalankan tugas-tugas ad-hoc dan lain-lain tugas yang diarahkan dari masa ke semasa. Namun, SUB di Kementerian memaklumkan bahawa penempatan saya di Jabatan ini adalah untuk menjalankan tugas-tugas hakiki pegawai M41.

Untuk pengetahuan tuan juga, senarai tugas saya diterima setelah 3 bulan berkerja di sini. dan saya mengalami kekeliruan mengenai tatacara untuk menguruskan pejabat dan menyelesaikan tugas-tugas seperti dalam senarai tugas memandangkan tiada kursus pernah dihadiri dan tiada pegawai untuk dirujuk. Saya tidak berani untuk membuat panggilan rasmi ke JPA atau MAMPU atau mana-mana jabatan lain memandangkan kewujudan saya seolah-olah ditutup di jabatan ini.

Oleh itu, saya memohon jasa baik tuan sekiranya tuan dapat memberikan pendapat dan cadangan bagi memudahkan saya menyelesaikan kekusutan ini.

Jawapan saya:-

Pertamanya saya memohon maaf kerana kurang arif tentang Pelantikan Contract For Service Bagi Pegawai Skim Perkhidmatan Singkat Di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua. Bayaran dan kemudahan kepada mereka hanya terhad kepada yang diluluskan sahaja. Tempoh perkhidmatan bagi lantikan ini adalah sehingga 31 Disember 2010

Masalah yang saudari hadapi merupakan masalah yang lazim dialami oleh pegawai yang baru dilantik. Lebih-lebih lagi jika ia bukan bertaraf tetap. Walau bagaimana pun peluang ini merupakan sesuatu yang istimewa yang kerajaan berikan kepada saudari. Ramai lagi rakan-rakan saudari yang tidak berpeluang seperti saudari. Gunakanlah sebaiknya peluang yang singkat ini untuk mencari ilmu dan pengetahuan yang berkaitan dengan bidang tugas yang diamanahkan. Saya percaya dengan pengalaman ini akan membantu kita membina kejayaan yang lebih cemerlang dimasa akan dating.

Ingatlah bahawa semalam adalah sejarah yang tidak boleh dipinda. Besuk adalah impian yang belum nyata. Tetapi hari ini adalah penentu siapa kita dihari besuk. Tempat belajar yang terbaik adalah pengalaman.

Dalam mencari ilmu dan pengalaman jangan kita malu untuk bertanya. Pastikan ada keinginan untuk mempelajari ilmu yang baru. Kita juga boleh belajar dari pengalaman orang lain.

Tiada ulasan: