Khamis, November 19, 2009

Cabaran abad ke21 era ICT dan globalisasi. Aku juga pejuang Agama, bangsa dan tanah air (Bahagian v)

Berapa ramai agaknya gadis Melayu yang menjadi tukang urut. Mungkin bukan lima bukan lima puluh bukan juga lima ratus tetapi angkanya mencecah lima ribu orang itu statistik pada 2006 yang didedahkan oleh seorang senator ketika itu , iaitu bilangan gadis Melayu yang bekerja sebagai tukang urut di rumah-rumah urut di sekitar Lembah Kelang.
Mereka yang terlibat dalam industri maksiat ini sebenarnya lebih besar. Kalau lima ribu itu melibatkan mereka yang menjadi tukang urut, bagaimana pula mereka yang menjadi GRO, yang bekerja menghidang dan mempromosi arak di kelab-kelab malam dan pusat hiburan. Berkemungkinan angkanya lebih besar lagi.
Yang sedihnya, hakikat ini dipandang sepi. Dan sehingga pendekatan HOLISTIK itu diambil (entah bila agaknya) maka teruslah anak-anak bangsa kita akan menagih wang dengan melacurkan tubuh, mempergadaikan maruah, mempersetankan agama, kerana siapa pun tidak peduli, kerana yang pentingnya adalah wang dan cari makan.
Anak Melayu membancuh arak, anak Melayu dengan pakaian menjolok mata menghidang arak dan anak Melayu merela tubuhnya digomol dan diperlakukan semata-mata kerana alasan mencari rezeki. Anak-anak Melayu yang menjadi Mat rempit dan minah rongging. Anak-anak Melayu yang terlibat dengan dadah sebagai penagih dan juga pengedar.
Demikianlah anak-anak Melayu Islam pada hari ini, jika dizaman 50an dan 60an dahulu istilah wanita kabaret adalah istilah yang jalang dan hina dalam masyarakat Melayu, hari ini anak-anak Melayu berbangga bekerja di tempat-tempat ini kerana pendapatan mereka lumayan, dan mereka juga tidak keberatan melakukan apa sahaja.
Bagi kita yang memandang kecil perkara ini, pasti tidak merasa tersinggung sedikit pun apabila membaca kes wanita Melayu Islam memperagakan tubuh untuk memuaskan nafsu serakah pelanggan mereka. Manakala bagi kita yang bimbang, kita yang tersentuh perasaan, maka wajar sangatlah kita bersama-sama menginsafkan diri dan mengajak yang lain agar bersama-sama kembali kepada Islam.
Adakah dengan menuding jari itu akan dapat merobah nasib dan minda orang Melayu itu. Jjusteru itu untuk mengeluarkan Melayu dari kemelut dilemmanya? Jawapannya sudah tentu tidak... Tidak ada kuasa sakti yang datang dari jari itu, tundinglah sebanyak mana sekalipun, tidak akan ada 'magik' yang akan berlaku, Melayu tetap tidak akan berubah.
Itulah juga yang sering diperkatakan berkali-kali oleh para pemimpin Melayu, baik Dato' Onn, hingga ke Dr Mahathir dan kini Najib Tun Razak... dan saya percaya, ianya akan terus diulang-ulang lagi sehingga hari kiamat, Melayu itu akan tetap Melayu dan tidak akan berubah.(Bersambung)

Tiada ulasan: