Rabu, Oktober 07, 2009

Jerat tidak pernah lupakan pelanduk

Menunggu kehadiran seorang pelanggan untuk datang pada jam 12.00 tengahari. Persediaan perlu dibuat terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah pelanggan ini. Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya masalah beliau. Dalam perbualan telefon sebentar tadi katanya berkaitan dengan tuntutan pampasan pencen. Tuntutan pampasan pencen oleh seorang kenalan beliau yang bersara pada tahun 1979.

Kedatangan En, Naza saya sambut gembira kerana beliau adalah pelanggan luar yang pertama mengunjungi saya pada bulan ini. Tentunya saya gembira menunggu kehadiran beliau, paling tidak saya dapat membantu menyelesaikan masalah beliau. Biasanya bila melayangi pelanggan saya tidak terus bertanyakan tujuan beliau datang terlebih dahulu. Saya mulakan dengan berkenalan terlebih dahulu dengan mewujudkan kemesraan agar tiada “gap” diantara saya dengan pelanggan.

Memulakan bicara En Naza memaklumkan bahawa beliau menguruskan permohonan kenalannya untuk mendapat ganjaran pencen atau apa-apa faedah dari kerajaan Negeri atau Persekutuan kerana menurut beliau sumbangannya dalam perkhidmatan selama 27 tahun itu banyak jasa dan pengorbanan yang beliau berikan semasa berkhidmatan dengan jabatan kerajaan sebelum bersara. Menurut En. Naza kehidupan persara berkenaan hari ini sangat dhaif. Menghabiskan umur tua 74 tahun persara berkenaan menyambung kehidupan hanya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan anak-anak.

Apa sebenarnya berlaku kepada pesara berkenaan?. Dhaif benar kehidupannya mengapa selepas bersara 14 tahun yang lalu beliau masih belum memperolehi faedah persaraan. Pelik juga saya dibuatnya. Bagaimana saya harus menolong beliau. Alangkah indahnya kalau saya dapat menolong beliau. Tetapi apakan daya peraturan yang ada menyebabkan saya tidak mampu menolong beliau. Sebagai penjawat awam saya terikat dengan Akta Pencen 1980.

Pesara berkenaan sebenarnya telah meletak jawatan dengan notis 24 jam dengan membayar sebulan gaji untuk menyertai sektor swasta. Maka dengan itu menurut akta pencen pegawai berkenaan tidak lagi berhad untuk mendapat apa jua faedah dari persaraan beliau. Menurut akta berkenaan Seksyen 7 (d) yang menjelaskan bahawa tempuh perkhidmatan yang tidak layak dikira untuk mendapat faedah dari pencen ialah apa-apa tempuh perkhidmatan yang ditamatkan desebabkan perletakan jawatan oleh seorang pegawai untuk menerima pekerjaan dalam sector swasta atau kerana lain-lain sebab peribadi.

Oleh yang demikian seorang pegawai kerajaan yang ingin melepaskan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan hendak berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan. Kaji dahulu kesan baik buruk masa depannya nanti. Jangan jadi seperti pesara diatas bila keadaannya tersepit menyalahkan orang lain dengan menuduh bahawa beliau tidak dimaklumkan berkaitan dengan peraturan persaraan. Dalam undang-undang kita tidak boleh mengatakan kita tidak tahu tahu undang-undang selepas kita tidak mematuhi undang-undang.

Dengan kesilapan yang dilakukan sendiri kita menyusahkan orang lain dengan menulis surat kepada KSN hingga kepada YAB Perdana Menteri supaya kerajaan mengenang jasa yang telah kita berikan masa kita berkhidmat dengan kerajaan. Masa kita hendak berhenti dahulu kita tidak fikirkan kesusahan kerajaan mencari ganti tugas yang kita tinggalkan dahulu. Itulah yang dikatakan pelanduk selalu lupakan jerat. Tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

Tiada ulasan: