Rabu, Oktober 21, 2009

Pegawai kerajaan yang meletak jawatan tidak boleh dilantik semula?

E-mail yang saya terima dari seorang penjenguk caknasayang.blogspot.com:-

"Saya merupakan salah seorang penjenguk blog tuan. secara jujurnya, saya 'terserempak' dengan 'caknasayang.blogspot' secara tidak sengaja ketika saya ingin mencari informasi berkenaan dengan perkhidmatan kakitangan kerajaan. Saya dapati tuan lebih arif akan prosedur dan saya ingin memohon bantuan nasihat dari pihak tuan dan sangat berbesar hati jika tuan dapat memberi pandangan dan nasihat.

Saya merupakan pendidik di salah sebuah universiti (kerajaan) di Selatan tanah air. Jawatan saya bertaraf tetap dan perkhidmatan sudahpun disahkan (confirm) setelah setahun berkhidmat di institusi ini. Saya telah berkahwin awal tahun ini dan memandangkan suami berkhidmat di Utara tanah air, beliau telah memohon agar saya bertukar ke utara. Walaupun dengan rasa berat hati, saya terpaksa akur akan situasi ini dan memutuskan untuk menyambung pelajaran secara sepenuh masa di universiti di utara di mana ia akan bermula awal tahun hadapan. Memandangkan saya berkhidmat di dalam institusi pendidikan, pencapaian akademik yang kukuh amat diperlukan di dalam bidang ini. Persoalannya, jika saya meletak jawatan di institusi ini, benarkah saya akan tidak dapat menjawat sebagai kakitangan kerajaan kelak?

Saya berharap agar tuan dapat memberi pandangan, penjelasan atau nasihat ikhlas. Perhatian tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih."

Jawapan dan pandangan saya adalah sepertimana berikut. Memang benar puan tidak akan dapat menjawat sebagai kakitangan semula. Tetapi ia bukanlah sesuatu yang mandotory kerana ia bergantung kepada pihak berkuasa yang boleh melantik Puan semula nanti. Sekiranya Suruhanjaya bersetuju untuk melantik semula Puan, ia boleh berbuat demikian dengan beberapa syarat.

Menurut Perintah Am, Bab A mengenai Peraturan-peraturan pegawai awam (perlantikan kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan)2005 (P.U.(A)176/2005) Bahagian 11 seksyen(7) menyatakan " Seorang pegawai tetap yang telah meletak jawatan tidak boleh dilantik semula kedalam perkhidmatan kecuali dengan kebenaran khas Suruhanjaya, setelah menimbang laporan daripada Ketua Jabatan tempat pegawai itu berkhidmat sebelum perletakan jawatannya mengenai sebab perletakan jawatannya."

Pada pandangan saya Puan masih boleh meneruskan hasrat untuk sambung belajar dengan memohon cuti tanpa gaji atau separuh gaji. Selepas itu Puan bolehlah membuat keputusan semula sama ada untuk meletak jawatan atau tidak. Sebaiknya sebelum membuat apa-apa keputusan bincang dahulu dengan suami serta membuat solat istikharah.Terima kasih.

1 ulasan:

Alpha Tango Six Niner berkata...

Tuan,

Bagaimana pula sekiranya Pegawai Kontrak (Contract of Service) meletak jawatan? Saya merupakan PTD kontrak lantikan JPA namun saya tidak berminat dengan jawatan PTD, jadi saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan untuk memberikan saya ruang untuk menceburi bidang lain yang lebih bersesuaian dengan bidang saya demi untuk menimba pengalaman. Keputusan ini saya buat demi untuk career advancement saya. Namun, saya berhasrat untuk memasuki perkhidmatan awam samaada sebagai Peg. Penyelidik, Peg Sains mahupun Pensyarah IPTA pada masa hadapan.

Persoalan saya, adakah peletakan jawatan saya ini akan menjejaskan peluang saya untuk mendapatkan jawatan tetap melalui SPA dan badan berkanun ataupun lain-lain jawatan kontrak lain?